Sila Like

BANTU PENGUSAHA KANTIN - TOK MAT

Nasib lebih 10,000 orang pengusaha kantin yang semakin terhimpit hari ini diberi perhatian oleh Dato Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hassan.

Melalui posting terbarunya di facebook, Timbalan Presiden Umno itu menyeru kerajaan untuk membantu golongan pengusaha kantin. Beliau turut menyarankan kontrak pengoperasian kantin ditambah lagi 2 tahun secara automatik bagi menggantikan tempoh kontrak 2 tahun yang hilang kerana penutupan sekolah. Menurut Dato Seri Utama Haji Mohamad lagi, sewa kantin juga wajar dikecualikan sehingga sektor persekolahan benar benar pulih.

Berikut adalah kenyataan Dato Seri Utama Haji Mohamad yang dikongsikan di facebook.

Bantu Pengendali Kantin Sekolah

Sektor persekolahan akan terus di tutup sehinggalah fasa pemulihan bermula.

Keputusan Kerajaan untuk membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas untuk divaksinasi sangat dialu-alukan.

Begitu juga keputusan untuk mengutamakan pelajar yang akan menduduki peperiksaan umum divaksinasi segera.

Semua ini akan mempercepatkan pembukaan sektor persekolahan dan memulihkan sistem pembelajaran dan pengajaran.

Sementara menunggu semua intervensi tersebut berlaku, janganlah kita lupa kepada sektor sokongan seperti pengusaha kantin sekolah.

Lebih 10,000 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara sangat terjejas dengan penutupan sekolah.

Kementerian Pendidikan Malaysia wajar mengecualikan semua sewa premis kantin sekolah sehingga sektor persekolahan benar-benar telah pulih.

Lanjutan kontrak semua pengendali kantin sekolah juga, wajar dilanjutkan selama dua tahun lagi, bagi menampung kehilangan peluang dan pendapatan selama hampir dua tahun kerana penutupan sektor persekolahan.

Pada saat sebegini, apa juga tindakan yang dapat mengurangkan beban rakyat mesti menjadi keutamaan tertinggi Kerajaan.

Dato Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan

 Link posting asal di sini.

Saya sebagai pengusaha kantin dan aktivis Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) menyambut baik saranan Dato Seri. Namun ada beberapa perkara yang perlu kerajaan perhalusi.

Yang pertama, moratorium sewa dan bil utiliti. Kementerian Pendidikan Malaysia telah pun memberi pengecualian sewa kantin sekolah yang di bawah KPM sehingga bulan Jun 2021. Ini bermakna pengusaha kantin perlu mula bermula bulan Julai 2021. PPKSM telah pun menghantar surat memohon moratorium ini dilanjutkan tetapi masih tiada jawapan. Selain daripada sewa, pengusaha kantin juga terpaksa membayar bil elektrik dan air walaupun kantin tidak beroperasi. Bil bil utiliti ini dicajkan dibawah kategori industri yang lebih mahal daripada kategori domestik dj rumah.

Yang kedua adalah moratorium pinjaman rumah, kenderaan dan perniagaan. Kerajaan perlu campur tangan dalam membela nasib pengusaha kantin di saat saat kritikal ini. Pinjaman perniagaan dari kerajaan seperti TEKUN dan MARA juga perlu diberi secara automatik sehingga Malaysia diishtiharkan bebas pandemik covid 19 atau lebih baik dilupus kira.

Yang ketiga berkenaan dengan perlanjutan kontrak. Ini sememangnya sangat dinanti nanti oleh majoriti pengusaha kantin. Namun setelah 16 bulan kehilangan pendapatan, majoriti pengusaha kantin telah pun kehabisan wang modal dan wang simpanan. Malah terdapat ramai juga pengusaha kantin yang telah gulung tikar (baca di sini). Justeru itu kami amat memerlukan bantuan modal dalam bentuk geran dan pinjaman mudah yang fleksibel pembayarannya. Ini kerana pembukaan sekolah sangat sukar dijangka. Dan sekiranya dibuka, mungkin kehadiran pelajar tidak pada kapasiti penuh. 

Pengoperasian kantin bukanlah satu industri yang besar yang dapat menyumbang cukai yang tinggi. Tetapi nasib 10,000 orang pengusaha kantin, lebih 100,000 orang pekerja kantin dan ramai lagi yang terlibat secara tak langsung dalam rantaian perniagaan ini tidak patut diabaikan. 

Saya menyeru agar semua pihak memandang serius masalah pengusaha kantin sekolah. Bantulah kami dengan memviralkan artikel ini di media sosial sehingga sampai kepada Menteri Pendidikan, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

Catat Ulasan

0 Ulasan