Sila Like

KERACUNAN MAKANAN DI SEKOLAH

    Setiap tahun pasti kita akan dengar tentang kes keracunan makanan di sekolah. Setiap kali itu jugalah kantin sekolah akan dipersalahkan dan diberi notis penutupan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) walaupun makanan tercemar itu mungkin bukan dijual oleh kantin. Ini kerana mengikut undang-undang penjualan makanan dan minuman di sekolah, hanya kantin sahaja yang dibenarkan menjual makanan dan minuman selaku pemegang hak eksklusif. Sila rujuk di sini. Tapi, benarkah kantin adalah punca kepada semua kes keracunan makanan di sekolah? Mari kita bincangkan.

notis penutupan kantin
Notis penutupan kantin oleh PKD
    Untuk mengendalikan sesebuah kantin, banyak SOP yang perlu pengusaha kantin patuhi. Bermula dengan pengendali makanan, pengusaha kantin dan semua pekerja perlu diperiksa tahap kesihatan sebelum diberi suntikan pelalian typhoid. Kad suntikan akan diberi oleh klinik sebagai bukti telah melalui prosedur ini. Selepas itu semua pengendali makanan ini perlu menghadiri kursus latihan di pusat latihan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pengendali makanan juga perlu mematuhi etika pakaian yang ditetapkan oleh KKM.

kursus latihan pengendalian makanan
Contoh kursus latihan pengendalian makanan


    Premis perniagaan juga perlu mengikut spesifikasi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan KKM. Setiap ruang daripada lantai, dinding, syiling dan longkang diperiksa. Saliran pengudaraan perlu sempurna namun segala ruang yang mungkin menjadi laluan haiwan perlu ditutup. Ini penting bagi menjaga keselamatan makanan dan alam sekitar. Kegagalan memenuhi syarat ini menyebabkan lesen perniaggan tidak akan dikeluarkan.

Dapur kantin dipantau oleh guru bertugas setiap hari

    Peralatan dan susun atur di dalam kantin juga perlu mengikut spesifikasi KKM. Warna kain lap dan papan pemotong perlu berbeza mengikut penggunaan. Jarak minimum antara rak barang dengan dinding dan lantai juga perlu dijaga.

Susun atur peralatan dapur mengikut peraturan KKM

    Begitu juga dengan bahan mentah. Perlu disusun dalam bekas tertutup mengikut kategori dan dilabel dan direkodkan. Cara bungkusannya juga perlulah menepati piawaian KKM.

Kualiti makanan sentiasa dipantau


    Cara penyediaan makanan juga perlu mengikut peraturan. Daripada ketibaan bahan mentah ke kantin hingga ke meja jualan ada aturannya.

Kawalan makhluk perosak termasuk kucing


    Kawalan vektor juga amat dititikberatkan. Setiap kantin sekolah perlu memasang perangkap tikus, lalat dan lipas di luar kantin. Pengusaha kantin dipertanggungjawabkan untuk memastikan tiada haiwan seperti tikus, kucing, anjing dan lain-lain berkeliaran di kantin sekolah. Ramai pencinta kucing membantah larangan ini sehingga sanggup memboikot kantin atau restoran yang menghalang pelanggan membawa atau memberi kucing makan di dalam premis menjual makanan ini. Sedangkan peraturan ini dibuat oleh KKM dengan sebab yang munasabah.

laporan harian pemeriksaan kendiri kantin sekolah


    Peraturan ini tidak berguna sekiranya tanpa pemantauan dan penguatkuasan. Oleh itu pengusaha kantin dibekalkan buku laporan harian pemeriksaan kendiri kantin sekolah yang perlu diisi setiap hari. Guru kantin akan memeriksa buku laporan dan keadaan kantin ini setiap hari benar. PK HEM pula akan meneliti buku laporan ini dan dihantar ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) setiap bulan. Tidak cukup dengan pemantauan pengusaha kantin dan guru sekolah, pegawai pemeriksa daripada PBT dan PKD dipertanggungjawabkan membuat pemeriksaan mengejut ke kantin sekolah dua kali setahun.

Pemeriksaan mengejut oleh PKD di kantin

    Dengan SOP dan pemantauan yang ketat, kemungkinan untuk berlaku keracunan makanan amat kecil. Tetapi walaupun hanya kantin sekolah yang boleh menjalankan penjualan makanan di sekolah, namun ada banyak lagi pihak yang tidak tahu penghormati undang-undang yang turut menjual makanan dan minuman di sekolah seperti koperasi, kelab guru, kelab permata (tingkatan 6), guru-guru dan murid-murid. Bagaimana risiko keracunan makanan daripada pihak lain?

Bagaimana penyediaan makanan yang dijual di koperasi sekolah?

    Kebanyakan pihak selain kantin ini menjual makanan tanpa sebarang pemantauan terhadap pengendali makanannya serta tempat, peralatan dan cara penyediaannya. Kita sekadar dapat melihat proses penjualan makanan. Namun bagaimana pula tempat dan cara penyediaan makanan mereka? Adakah makanan itu diproses di premis yang berdaftar dengan Fosim? Pukul berapakah makanan mula diproses? Jika pada awal pagi, sudahkah mereka mandi dan memakai pakaian yang bersesuaian? Macamana pula dengan peralatan yang digunakan? Sekiranya dibuat dirumah, mungkinkah makanan itu boleh dicemari oleh haiwan peliharaan mereka?

Bukan sahaja melanggar peraturan malah mengajar generasi
muda untuk tidak menghormati peraturan dan hak orang lain

    Tiada siapa boleh menjawab persoalan di atas. Sekiranya berlaku keracunan makanan di sekolah, pihak PKD akan datang mengambil sampel makanan di kantin dan menutup kantin sehingga 14 hari bagi tujuan pengujian sampel tersebut. Kantin perlu menanggung kerugian wang ringgit akibat tidak dapat berniaga dalam tempoh ini. Bukan itu sahaja, kes keracunan makanan itu akan viral ke seluruh kawasan berhampiran. Kantin terpaksa menanggung malu akibat dituduh tidak menjaga kebersihan. 

Pencemaran makanan boleh berlaku akibat haiwan peliharaan di rumah

    Sekiranya makanan yang diambil dari kantin itu didapati selamat untuk dimakan, kantin akan dibenarkan berniaga semula. Itu sahaja. Tiada notis yang menyatakan kes keracunan yang berlaku itu bukan berpunca daripada kantin untuk membersihkan nama baik kantin. Bagaimana dengan kerugian akibat boikot jualan kantin yang berpunca daripada maklumat yang tidak tepat tentang kes keracunan makanan itu? Bagaimana pula kerugian yang telah dialami sepanjang tempoh penutupan kantin? Tidakkah ini suatu penganiayaan terhadap kantin?

    Kenapa koperasi, kelab guru dan pihak lain yang turut menjual makanan dan minuman di sekolah ini bagaikan tak wujud ketika kes keracunan berlaku? Pentadbir sekolah juga seolah olah menutup rapat cerita tentang penjualan makanan oleh koperasi. Ini kerana sekiranya didedahkan dan terbukti makanan yang dijual oleh pihak yang dibiarkan melanggar peraturan ini tercemar, ini akan menunjukkan pentadbir sekolah gagal memastikan semua warga sekolah mengikut peraturan dari KPM. Intergriti pentadbir sekolah mungkin akan dipersoalkan. 

    Oleh iti admin menyeru kepada semua pihak termasuk guru, murid dan ibu bapa supaya melaporkan kepada PPD atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau KPM sekiranya berlaku pelanggaran peraturan penjualan makanan di sekolah anda ataupun anak anda. Aduan juga boleh ditujukan ke emel Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) di aduan@ppksm.com.my bagi tujuan pemantauan.

    Kongsikan artikel ini di media sosial anda untuk menyebarkan informasi ini demi kebaikan semua.

Catat Ulasan

0 Ulasan