Sila Like

RAYUAN BANTUAN UNTUK PENGUSAHA KANTIN

Sejak nasib pengusaha kantin diperkatakan di media sosial oleh ramai pihak termasuk ahli politik, timbul persoalan apakah tiada langsung bantuan daripada kerajaan? Ada juga yang menuduh pengusaha kantin cuba meraih keuntungan daripada bantuan kerajaan.

Setelah kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020, Kerajaan Negeri Melaka telah mengumumkan pengecualian sewa kantin di semua premis kerajaan termasuk kantin sekolah di seluruh pelusuk negeri Melaka. Tidak lama kemudian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan moratorium penyewaan semua premis kerajaan di seluruh negara selama 6 bulan sehingga Ogos 2020. Pengecualian sewa ini kemudian disambung lagi selama 3 bulan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (baca di sini). Sewa bagi bulan Disember pula sememangnya tidak perlu dibayar mengikut perjanjian penyewaan kantin sekolah. Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) kemudiannya memohon lagi pengecualian sewa bagi tahun 2021 sehingga bulan jun. Permohonan ini juga telah diterima pihak KPM. Namun PPKSM masih menunggu jawapan kepada permohonan untuk melanjutkan pengecualian sewa kantin sehingga akhir tahun atau sehingga Malaysia diishtiharkan bebas covid19.

Selain itu PPKSM turut memohon bantuan tunai untuk membantu pengusaha kantin sekolah yang terjejas teruk akibat penutupan sekolah. Tapi dalam masa yang sama rupanya KPM juga sedang menimbangkan Bantuan Prihatin RMT seperti yang pernah saya laporkan sebelum ini (baca di sini). Namun akhirnya Kementerian Kewangan hanya membenarkan KPM memberikan bantuan tunai RM1,500 secara 'one off' kepada semua pengusaha kantin sekolah di bawah KPM (baca di sini).
Bantuan dari kerajaan negeri Pulau Pinang

Selain bantuan dari kerajaan persekutuan melalui KPM, kerajaan negeri Pulau Pinang juga ada memberi bantuan tunai sebanyak RM500 bagi setiap pengusaha kantin di Pulau Pinang sejak dari PKP 1.0 lagi. Bantuan ini kemudiannya diteruskan lagi semasa perlaksanaan PKP 2.0 dan PKP 2.0 (baca di sini).
MAIWP menyumbangkan RM1.2 juta kepada PPKSM
Pengusaha kantin di Wilayah Persekutuan juga agak bernasib baik kerana diberi perhatian oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Sejak tahun 2020 MAIWP membantu golongan ini melalui Baitumal MAIWP. Namun ramai yang tercicir kerana tidak tahu kewujudan bantuan ini. Oleh itu bagi memastikan lebih ramai pengusaha kantin mendapat bantuan, pegawai dari MAIWP telah menghubungi Setiausaha PPKSM Pn Siti Normah untuk bekerjasama. Melalui kerjasama ini, PPKSM akan menyediakan senarai nama penerima yang terdiri daripada ahli persatuan dan pekerja mereka yang beragama Islam. Mereka yang layak ini akan menerima bantuan tunai sebanyak RM500. Dijangkakan 2,400 orang pengusaha dan pekerja kantin daripada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menerima manfaat dari program ini (baca di sini).

PPKSM turut menghantar permohonan kepada semua kerajaan negeri dan juga majlis agama Islam  di semua negeri agar nasib semua pengusaha kantin di Malaysia terbela. Tetapi bukan semua menjawab permohonan itu.
Pakej Ransangan Ekonomi Ihsan johor

Kerajaan Negeri Johor baru baru ini akhirnya memasukkan pengusaha kantin ke dalam senarai penerima bantuan Pakej Ransangan Ekonomi Ihsan Johor 3.0. Melalui pakej ini pengusaha kantin di Johor dibantu dengan pemberian tunai sebanyak RM500.

Kerajaan negeri Pahang juga akhirnya memberi perhatian kepada pengusaha kantin melalui program Bantuan Prihatin Pahang (BPP).

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pula bakal mengagihkan pek makanan kering bernilai RM100 kepada pengusaha dan pekerja kantin di sekolah yang terpilih. Baru baru ini juga ada pegawai dari MAIS menghubungi saya bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai pengusaha kantin sekolah KPM dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Selangor. Saya juga ada menyentuh tentang pengusaha kantin Sekolah Rendah Agama yang tercicir daripada pengecualian sewa kantin kerana bukan berada dibawah KPM. Maklumat yang saya berikan itu bakal dibawa ke pihak atasan MAIS untuk diteliti. Namun masih terlalu awal untuk mengatakan ada bantuan ataupun tidak selepas ini.
 
Majlis Agama Islam Perak (MAIP) pula memaklumkan pengusaha kantin di negeri itu boleh memohon bantuan melalui Persatuan Usahawan Negeri Perak. Sekiranya pengusha kantin tidak menganggotai persatuan tersebut, permohonan boleh dibuat melalui ketua kampung atau pemghulu masing masing.

Selain itu pihak Yayasan Waqaf Malaysia juga ada menghubungi saya untuk mengagihkan pek makanan kering kepada pekerja kantin sekolah di Putrajaya.

Dengan adanya bantuan bantuan begini, dapatlah mengurangkan sedikit beban yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha kantin. Namun bantuan ini masih tidak memadai berbanding kerugian yang dialami pengusaha kantin. Buktinya ramai pengusaha kantin yang terpaksa gulung tikar setelah kehabisan modal perniagaan, wang simpanan dan ikhtiar untuk menyelamatkan perniagaan (baca di sini). Perlu diingatkan, pengusaha kantin takkan menamatkan perniagaan yang belum tamat kontrak kerana tak mahu kehilangan wang deposit kantin dan tak mahu disenarai hitam dalam rekod tender kerajaan. Tindakan tarik diri sebelum kontrak berakhir adalah pilihan terakhir setelah tiada jalan lain lagi.

Bantuan bantuan daripada kerajaan negeri dan majlis agama Islam negeri ini juga tidak menyeluruh kepada semua pengusaha kantin. Selain daripada pengusaha kantin di Pulau pinang, Pahang dan Johor, pengusaha kantin di negeri lain tidak mendapat bantuan. Bantuan daripada  MAIWP pula hanya terhad untuk pengusaha kantin di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang beragama Islam sahaja. Bantuan dari majlis agama Islam negeri lain pula amat terhad dan ramai pengusaha kantin yang tercicir daripada senarai penerima.

Pengusaha kantin tidak dapat memohon Bantuan Sara Hidup  (BSH) kerana memiliki SSM. Manakala permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) kebanyakkan pengusaha kantin pula ditolak kerana memiliki lebih dari 4 orang pekerja.

Sekiranya pengusaha kantin yang mendapat bantuan ini turut terjejas teruk dan ramai yang menamatkan kontrak awal kerana kehabisan modal, apatah lagi pengusaha kantin yang tak dapat bantuan di negeri negeri lain.

Pengusaha kantin amat berterima kasjh atas sumbangan dan bantuan yang telah diterima. Dengan bantuan bantuan yang diterima, dapatlah digunakan untuk perbelanjaan isi rumah. Namun kami mengharapkan bantuan yang lebih besar yang dapat menyelamatkan perniagaan kami kerana kebanyakkan pengusaha kantin tiada sumber pendapatan lain. Kami amat mengharapkan KPM dan Kementerian Kewangan Malaysia dapat memberi perhatian kepada masalah ini. Tanpa bantuan perniagaan, dijangkakan beribu ribu pengusaha akan akan gulung tikar. Yang mampu bertahan pun, terpaksa mengurangkan kos sehingga menjejaskan mutu perkhidmatan.

Catat Ulasan

0 Ulasan