Sila Like

APA RANCANGAN ISTANA NEGARA?

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin telah berjaya mendapatkan perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah Ibni Almarhum Sulan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah untuk mengisytiharkan darurat pada 11 Januari sehingga 1Ogos 2021.

    Dengan pengiystiharan darurat ini, segala persidangan Parlimen digantung. Semua ahli parlimen tidak perlu lagi hadir ke parlimen kerana dikhuatiri berlaku penularan wabak covid-19 yang mungkin akan mencetuskan kluster parlimen. Ini perlu dielakkan memandangkan ramai ahli parlimen merupakan warga emas yang berisiko tinggi. Walaupun kesemua ahli parlimen telah divaksin, kerajaan tidak boleh merisikokan golongan yang berkhidmat untuk rakyat ini. Sebarang kematian ahli parlimen akan menyebabkan Pilihanraya Kecil (PRK) terpaksa diadakan sebaik sahaja darurat berakhir pada 1 Ogos 2021 ini. PRK ini bukan sahaja akan menelan belanja jutaan wang rakyat, tapi apa yang lebih membimbangkan, penularan wabak covid-19 sepertimana yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri Sabah. Walaupun tidak perlu lagi ke parlimen, semua ahli parlimen masih mendapat gaji penuh tanpa pengurangan sesen pun.

    Tanpa persidangan parlimen bermakna kerajaan memiliki kuasa penuh untuk mentadbir negara tanpa dipersoalkan oleh pembangkang di parlimen. Kerajaan boleh menggubal undang undang baru, menggunakan wang dan apa jua sumber negara untuk memerangi penularan covid-19 tanpa perlu dibahaskan dahulu di parlimen. Ini membolehkan kerajaan menguruskan hal ehwal negara dengan lebih cekap dan berkesan.

    Namun sehingga kini tiada pencapaian yang ketara dalam memerangi covid-19. Malah boleh dikatakan penularan wabak ini semakin buruk. Varian varian baru covid-19 daripada Afrika dan India yang lebih dasyat telah pun menular ke dalam komuniti kita seperti yang sedang berlaku di Labuan sekarang (berita di sini). Kes baru positif covid-19 meningkat setiap hari. Penurunan berlaku sekali sekala pun disebabkan pengurangan saringan yang disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan petugas, kekurangan kit ujian dan mungkin juga desakan untuk menunjukkan 'hasil kejayaan' PKP dan darurat.

    Kegagalan demi kegagalan menyebabkan rakyat semakin hilang sabar. Perintah Kawalan Pergerakan terus bersambung sambung dengan PKPP, PKPD, PKPB, PKP+darurat dan PKP 'total lockdown'. Berdasarkan situasi ketika ini, kita akan terus menghadapi keadaan ini sehingga program vaksinasi selesai entah bila. Hashtag hashtag seperti #kerajaangagal mula menghiasi media sosial dan pernah terpampang banyak tempat tumpuan diseluruh negara termasuk di sepanjang Sungai Melaka.
Pemandangan di tepi Sungai Melaka

    Ini pastinya sangat membimbangkan kerajaan memandangkan darurat bakal berakhir tak lama lagi. Undi tidak percaya mungkin akan berlaku untuk menggulingkan perdana menteri. PRU 15 juga mungkin akan berlaku ketika itu banyak pihak tidak menyokong kerajaan berikutan kegagalan menangani pandemik covid-19. Malah pihak Istana Negara juga kerap diseru rakyat supaya campur tangan ke dalam pentadbiran negara.

    Terkini YDPA Al Sultan Abdullah berkenan memanggil semua ketua parti berdaftar di Malaysia mengadapnya di Istana Negara pada 9 dan 10 Jun 2021. Baginda kemudiannya dijadualkan mengadakan Perbincangan khas Raja Raja Melayu di Istana Negara pada hari Rabu, 16 Jun 2021.
Istana Negara
Perbincangan Khas Raja Raja Melayu
    Tanpa maklumat lanjut mengenai perjumpaan perjumpaan ini, banyak spekulasi timbul. Ada yang mengatakan perjumpaan ini adalah untuk menamatkan darurat. Ada juga ura ura Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) sedang diteliti untuk dilaksanakan. Ada juga pendapat yang mengatakan Perdana Menteri akan ditukar.
Marzuki Mohamad setiausaha sulit Perdana Menteri
    Apapun rancangan YDPA, rakyat amat mengharapkan suatu tindakan tegas  yang berkesan yang boleh menyelesaikan masalah yang dah membelenggu negara selama lebih 15 bulan ini. Rakyat tidak mahu lagi menjadikan 'duduk di rumah' sebagai kerjaya dan menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) sebagai gaji. Begitu juga dengan peniaga kecil. 'Gaji' untuk 'duduk di rumah' yang diterima melalui GKP PERMAI (RM1000) dan PEMERKASA (RM1500) untuk 7 bulan tahun 2021 tidak cukup untuk menampung kos kos perniagaan (walaupun tidak beroperasi) apatah lagi untuk perbelanjaan isi rumah. Rakyat mahukan kebebasan menjana rezeki sendiri tanpa mengharapkan bantuan kerajaan yang terlalu sedikit berbanding kerugian akibat PKP berterusan itu.

    Semoga ada perubahan positif selepas keputusan Perbincangan Khas Raja Raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun 2021 nanti.

Catat Ulasan

0 Ulasan