Sila Like

USAHA KELUARKAN PENGUSAHA KANTIN DARIPADA SENARAI ASNAF

Bidang pengoperasian kantin sekolah memang banyak cabaran. Tetapi sebagai sebuah perniagaan, bidang ini mampu menjana pendapatan yang agak lumayan. Walaupun tak kaya, ramai pengusaha kantin yang mampu hidup selesa.

Namun pandemik covid 19 merubah segalanya. Kehilangan pendapatan sekian lama namun masih terpaksa menanggung pelbagai kos disamping perbelanjaan menyara keluarga menyebabkan duit simpanan habis dengan cepat.

Setelah kehabisan wang simpanan, ramai yang terpaksa mula meminjam wang. Untuk meminjam dari agensi peminjam wang seperti bank, Tekun Nasional, MARA dan lain lain amat susah. Ini kerana penyata bank selama 6 bulan sebagai dokumen wajib yang diperlukan tidak menunjukkan aliran wang masuk lantaran perniagaan telah ditutup sejak 18 Mac 2020. Pilihan yang ada hanyalah meminjam daripada saudara mara dan sahabat handai. Mungkin juga ada yang meminjam daripada ahlong. Bagi yang mempunyai barang kemas, ramai yang telah menggadaikannya. Kini ramai pengusaha kantin berhutang keliling pinggang demi meneruskan hidup. Malah pengusaha kantin sekolah buat masa ini telahpun termasuk dalam golongan asnaf sementara yang amat memerlukan bantuan.

Dalam keadaan susah mengorek sisa sisa simpanan dan meminjam di sana sini untuk meneruskan kehidupan, kos perniagaan kantin sekolah masih terus berjalan. Kos bil utiliti, penyelenggaraan kantin, kos pekerja tetap perlu dilunaskan sedangkan langsung tiada pendapatan. Nasib baik KPM telah memberi pengecualian bayaran sewa kantin sehingga akhir tahun ini. Namun pengecualian ini tidak dapat dinikmati oleh pengusaha kantin sekolah agama dan sekolah swasta. Ini menyebabkan pengusaha terus terhimpit. Ramai juga yang telah kehabisan modal dan ikhtiar sehingga bertindak menamatkan kontrak walaupun terpaksa berdepan dengan risiko kehilangan wang deposit.

Hal ini amat menyedihkan kerana ramai di antara mereka yang menamatkan kontrak awal ini adalah pengusaha kantin yang berpengalaman dan telah memberi perkhidmatan cemerlang selama bertahun tahun. Menarik diri juga bermakna pengusaha kantin ini telah kehilangan punca pendapatan setelah pandemik covid 19 ini berakhir nanti. Mereka perlu mencari sumber pendapatan baru. Ini mungkin mengambil masa yang panjang memandangkan mereka telah kehabisan wang simpanan untuk dijadikan modal. Ketika ekonomi negara mula memulih nanti, mereka ini mungkin akan kekal sebagai asnaf sementara dan mungkin juga akan menjadi asnaf sehingga ke akhir hayat.

Ketika ini telahpun ada beberapa bantuan untuk memastikan pengusaha kantin mampu meneruskan kehidupan. Bantuan pek makanan, bantuan tunai RM500 di beberapa negeri dan terkini bantuan khas pengusaha kantin RM1000 yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru baru ini dapat memastikan dapur rumah pengusaha kantin terus berasap. Bil elektrik dan air di rumah mampu dibayar. Namun setelah wang bantuan itu habis, kehidupan pengusaha kantin akan kembali terhimpit.

Saya berpendapat amat penting memberi bantuan yang dapat mengeluarkan pengusaha kantin daripada senarai asnaf. Memandangkan sekolah dijangka dibuka pada akhir bulan ini, bantuan tunai untuk memulihkan perniagaan perlu diusahakan. Setiap pengusaha kantin memerlukan RM5,000 hingga ke RM10,000 untuk membeli bahan mentah yang mampu menjana pendapatan berterusan sekiranya sekolah dibuka sepenuhnya. Walaupun kos ini agak tinggi untuk dikeluarkan, pengusaha kantin sedia ada telah terbukti mampu menjalankan perniagaan kantin sebelum ini. Kerajaan atau majlis agama Islam negeri tidak perlu lagi membantu pengusaha kantin secara terus menerus selama lamanya.

Justeru itu saya merayu kepada kerajaan, Majlis agama Islam dan badan bukan kerajaan yang lain untuk memberi bantuan kewangan yang mencukupi kepada pengusaha kantin untuk memulihkan perniagaan. Bantuan yang mencukupi ini bukan saja dapat memulihkan perniagaan kantin yang turut membina semula ekonomi pengusaha kantin dan pekerja mereka. Malah dapat terus menyelamatkan imej sekolah daripada menjadi tercalar akibat ketiadaan perkhidmatan kantin atau kantin dibuka tetapi dalam keadaan dhaif kerana kekurangan dana. Beroperasi dalam keadaan dhaif juga menimbulkan banyak risiko termasuk keracunan makanan kepada murid murid.

Semoga kerajaan dapat memberi pertimbangan yang sewajarnya demi kebaikan pengusaha kantin, seluruh warga sekolah dan masyarakat disekitarnya.

Catat Ulasan

0 Ulasan