Setelah puas memohon pengecualian sewa kantin sehingga Malaysia diisytiharkan bebas covid 19, akhirnya KPM mengeluarkan sura rasmi PELANJUTAN PENGECUALIAN SEWAAN KANTIN, PENGECUALIAN KUTIPAN SEWAAN KEDAI BUKU/KOPERASI DAN KEDAI DOBI SEKOLAH SERTA PELANJUTAN KONTRAK SEWAAN KANTIN SEKOLAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA. Surat bertarikh 2 Julai ini baru diterima Persatuan pengusaha kantin petang tadi 3 Julai 2021.
Edaran surat ini pastinya sedikit sebanyak melegakan ramai pengusaha kantin yang dalam kesempitan hidup ekoran penutupan sekolah yang terlalu lama. Bukan sekadar tak perlu membayar sewa kantin, pengusaha kantin juga mendapat lanjutan tender kantin selama setahun lagi.
Selain kantin, kedai buku/koperasi dan kedai dobi (untuk sekolah berasrama) turut diberi pengecualian sewa sehingga bulan Disember 2021. Mungkin pihak KPM terlepas pandang, sewa kantin bagi bulan Disember memang tak perlu dibayar mengikut perjanjian penyewaan dan pengoperasian kantin manakala koperasi sememangnya tak membayar sewa selama ini.
PPKSM dan saya berterima kasih serta menyambut baik keputusan KPM ini. Namun kami mengharapkan lanjutan kontrak penyewaan dan pengoperasian kantin dilanjutkan selama dua tahun bukannya cuma setahun kerana kami telah kehilangan masa berniaga untuk tahun 2020 dan 2021. Lanjutan setahun tak cukup untuk kami meraih semula modal yang telah dilaburkan.
Saya juga amat mengharapkan KPM meneruskan dan meningkatkan bantuan tunai RM1,500 tahun lepas (baca di sini). Setelah mengalami kerugian besar untuk sesi tahun 2020 dan 2021, tak keterlaluan sekiranya KPM memberikan bantuan tunai RM10,000 untuk setiap kantin. Ini penting bagi membolehkan pengusaha kantin menstruktur semula perniagaan yang dah terjejas teruk bagi memastikan perkhidmatan kantin sekolah dapat diberi dengan sempurna.
Diharap KPM akan mempertimbangkan lagi semua permintaan ini.
0 Ulasan
Pihak E Kantin tidak bertanggungjawab atas segala komen pembaca. Pembaca dinasihatkan tidak menggunakan kata kata yang tidak sopan, tidak menyentuh sensitiviti perkauman/keagamaan, tidak menghina mana mana individu/institusi/komuniti.