Sekian lama sekolah ditutup sejak PKP yang bersambung sambung tanpa penghujung. Selama itu jugalah kantin ditutup sekaligus menutup sumber pendapatan pengusaha kantin.
Setelah 16 bulan hidup tanpa pendapatan, pengusaha kantin hanya meneruskan hidup dengan mengorek simpanan yang tak seberapa. Segala apa yang boleh digadai, dah pun dibawa ke kedai pajak gadai Ar Rahnu atau dijual. Bantuan kerajaan sebanyak RM1,500 tahun lepas, tak cukup untuk membayar bil elektrik. Apatah lagi kos kos lain. Bantuan Khas Pengusaha Kantin sebanyak RM1,000 yang baru diumumkan Perdana Menteri pun belum diterima lagi. Seandainya diterima nanti, akan habis sekelip mata untuk membayar tunggakkan bil utiliti. Itu belum kira komitmen lain seperti ansuran/sewa rumah, ansuran kereta, pinjaman perniagaan dan lain lain yang sudah sekian lama tertunggak. Boleh dikatakan hampir semua pengusaha kantin sudah di dalam keadaan yang sangat terdesak.
Tuntutan sewa bulan Julai |
Dalam keadaan yang serba kesempitan, kami sudah mula dihubungi oleh Guru Penolong Kanan HEM masing masing untuk memberi peringatan tentang bayaran sewa bagi yang perlu dijelaskan sebelum 7 Julai 2021. Padahal semua orang tahu kami sudah tidak berniaga sejak sekian lama. Dari mana sumber untuk kami membuat bayaran?
Kami tidak menyalahkan pihak sekolah kerana dalam hal ini, pihak sekolah hanya menjalankan tugas mereka. Begitu juga dengan pihak PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri. Namun KPM perlulah lebih peka dengan nasib pengusaha kantin yang terletak di bawah kuasa KPM. Tak mungkin tiada seorang pun di kementerian yang tak sedar masalah ini.
Permohonan melanjutkan pengecualian sewa kantin yang telah dihantar oleh Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) kepada KPM masih belum ada jawapan rasmi. Sekiranya permohonan PPKSM dipersetujui, sila berikan surat rasmi untuk mengelakkan spekulasi yang berpanjangan. Tetapi sekiranya permohonan ini ditolak, saya yakin hampir semua pengusaha kantin akan menarik diri daripada kontrak penyewaan dan pengoperasian kantin sekolah ini.
KPM perlu sedar jawapan untuk permohonan lanjutan moratorium sewa kantin ini perlukan tindakan segera. Sengaja melengah lengahkan jawapan hanya akan menimbulkan keresahan dikalangan pengusaha kantin. Ini juga menunjukkan KPM kurang cekap dalam mengendalikan aduan dan permohonan dari pihak pihak yang berkaitan dengan kementerian.
Dibawah adalah whatsapp yang sedang diedarkan kepada pengusaha kantin.
Salam sejahtera Dato'/Datin/Tuan/Puan Pengetua/Guru Besar,
Dimaklumkan bahawa KUTIPAN SEWAAN KANTIN SEKOLAH BAGI BULAN JULAI 2021 DAN SETERUSNYA UNTUK SEKOLAH-SEKOLAH SELANGOR YANG MEMPUNYAI PENGUSAHA KANTIN SEKOLAH perlu dibuat pada minggu pertama atau selewat-lewatnya pada 7hb bulan tersebut sebagaimana yang telah termaktub dalam Perjanjian Sewaan Kantin Sekolah bagi tujuan pengauditan dalam memastikan semua sekolah mematuhi prosedur-prosedur pengurusan kewangan dan perakaunan akaun sekolah terkini yang berkuatkuasa.
Selepas daripada 7hb Julai 2021, sekiranya pengusaha kantin sekolah yang terlibat tidak membuat pembayaran penyewaan kantin sekolah tersebut, pihak sekolah perlu mengeluarkan SURAT PERINGATAN kepada pengusaha kantin sekolah tersebut. Surat Peringatan ini adalah bagi tujuan pematuhan kepada prosedur kewangan dan perakaunan akaun sekolah dan pengauditan sekolah tahun 2021, bukannya MENGHUKUM pengusaha kantin sekolah yang terlibat.
Ini kerana pihak Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun lepas melalui Surat Rujukan : KPM.200-4/2/1 Jld. 12 (29) bertarikh 15 Disember 2020 hanya memberikan MORATORIUM PENGECUALIAN PEMBAYARAN PENYEWAAN KANTIN SEKOLAH DI BAWAH KPM BAGI TEMPOH JANUARI SEHINGGA JUN 2021 (6 BULAN). Sehingga kini, pihak KPM masih belum mengeluarkan sebarang Surat Perlanjutan Moratorium Pengecualian Pembayaran Penyewaan Kantin Sekolah di Bawah KPM bagi tempoh berikutnya.
Walaubagaimanapun , pihak JPS memahami permasalahan yang dihadapi oleh semua pengusaha kantin sekolah. Dalam keadaan pandemik yang melanda negara kita sekarang, semua sekolah di seluruh negara terpaksa ditutup meyebabkan kantin sekolah tidak dapat beroperasi dan menjejaskan pendapatan semua pengusaha kantin sekolah. JPS optimis dan berharap pihak KPM akan mengeluarkan juga Surat Perlanjutan Moratorium Pengecualian Pembayaran Penyewaan Kantin Sekolah di Bawah KPM bagi tempoh Julai 2021 sehingga selanjutnya, kelak.
Sekiranya nanti, pihak KPM telah mengeluarkan Surat Perlanjutan Moratorium Pengecualian Pembayaran Penyewaan Kantin Sekolah di Bawah KPM bagi tempoh Julai 2021 sehingga selanjutnya, dalam tempoh 1 hingga 7 Julai 2021, mana-mana pengusaha kantin sekolah yang telah membuat bayaran penyewaan kantin sekolah, pihak sekolah akan memulangkan kembali bayaran tersebut kepada pihak pengusaha kantin sekolah yang terlibat.
Segala bantuan dan kerjasama Dato'/Datin/Tuan/Puan Pengetua/Guru Besar dalam perkara ini amatlah kami hargai bagi melancarkan lagi urusan pengurusan penyewaan kantin sekolah dalam mematuhi segala prosedur pengurusan kewangan dan perakaunan akaun sekolah terkini yang berkuatkuasa.
Terima kasih.
"PRIHATIN RAKYAT : DARURAT MEMERANGI COVID-19"
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
saya yang menjalankan amanah,
HARIZ BIN ABU HASSHIM
Unit Akaun
Sektor Pengurusan
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor
No. Tel : 03 - 5513 3793
0 Ulasan
Pihak E Kantin tidak bertanggungjawab atas segala komen pembaca. Pembaca dinasihatkan tidak menggunakan kata kata yang tidak sopan, tidak menyentuh sensitiviti perkauman/keagamaan, tidak menghina mana mana individu/institusi/komuniti.