Sila Like

PKP 3.0 YANG LONGGAR DIJANGKA GAGAL

pkp 1.0

    Ketika PKP 1.0 diperkenalkan pada 18 Mac 2020 lalu, Perintah Kawalan Pergerakan yang menyeluruh memang benar benar memberi kesan pada kehidupan rakyat. Perniagaan kecil dan sederhana seperti pengusaha kantin juga amat terjejas (rujuk di sini). Ramai yang hilang sumber pendapatan tetapi dalam masa yang sama, kos pengurusan perniagaan masih berjalan. Golongan pekerja juga ramai yang hilang pekerjaan.

    Namun rata rata rakyat menyokong usaha kerajaan memutuskan rantaian covid-19. Kerajaan juga menunjukkan keprihatinan yang sewajarnya. Pelbagai bantuan diberikan kepada rakyat. Bantuan tunai, moratorium automatik dan diskaun bil elektrik walaupun tidak sepadan dengan kerugian tetapi cukup untuk melunakkan hati rakyat. Majoriti rakyat bersungguh sungguh berkorban selama 14 hari yang dilanjutkan berkali kali.

kes baru covid-19
Kita pernah hampir menang

    Pengorbanan rakyat dan kerajaan ketika itu ternyata berbaloi apabila kes baru covid-19 menurun malah ada beberapa hari tiada kes baru direkodkan. Pencapaian negara kita begitu membanggakan dan dipuji oleh World Health Organization (WHO) dan dikagumi banyak negara lain.
prn sabah
Malangnya ramai rakyat yang mati

    Malangnya ketika kemenangan hampir ke dalam gengaman, ahli politik mula mengkhianati pengorbanan rakyat. Mandat politik yang diberikan ketika PRU14 menjadi permainan. Lompat parti berlaku dan menyebabkan kerajaan negeri yang juga ditubuhkan hasil lompat parti hilang majoriti. Namun kerajaan negeri enggan melepaskan kuasa dan menyatakan sanggup mati dari melepaskan kuasanya begitu saja. Di pihak satu lagi juga enggan mengalah demi mendapatkan kembali mandat yang hilang akibat aktiviti lompat parti.
kuarantin prn sabah
Kuarantin dilonggarkan

    Akhirnya Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah terpaksa diadakan walaupun dalam situasi pandemik covid-19 masih melanda. Lebih mengecewakan SOP dilonggarkan demi memudahkan ahli politik berebut kuasa. Ahli politik yang pulang ke negeri masing-masing setelah PRN berakhir tidak perlu menjalani kuarantin seperti biasa.

    Kes positif baru covid-19 yang hampir hilang muncul kembali dengan tiba-tiba. Pengorbanan rakyat sepanjang PKP 1.0 sia-sia. Wang simpanan bagi kebanyakkan rakyat habis diguna. Wang kerajaan juga banyak yang telah digunakan. Semuanya menjadi sia-sia walaupun hampir berjaya.

    Setelah kes positif harian covid-19 meningkat ke empat angka (tak pernah berlaku sebelum PRN Sabah), akhirnya kerajaan melaksanakan PKP 2.0 yang terlalu longgar untuk beberapa sektor terutamanya perkilangan. Bagi golongan peniaga kategori perusahaan kecil dan sederhana ramai terjejas teruk. Pengusaha zoo, pengusaha kantin sekolah, pengusaha kedai buku sekolah, pengusaha bas ekpres, pengusaha katering dan ramai lagi disekat daripada mencari rezeki sendiri. Permohonan bantuan Geran Khas Prihatin 2.0 (GKP) sebanyak Rm3000.00 pula banyak yang ditolak. Yang berjaya terpaksa menghabiskan wang bantuan untuk menampung kos operasi syarikat walaupun tak dapat berniaga. Itupun ramai yang akhirnya gulung tikar kerana kerugian terlalu besar berbanding bantuan RM3000.00 tersebut.

    Pelik juga bila difikirkan kerajaan hanya membantu peniaga untuk mengurangkan kerugian perniagaan. Tidakkah kerajaan sedar yang peniaga juga manusia yang mungkin berkeluarga. Bagaimana dengan perbelanjaan isi rumah mereka? Bagi golongan peniaga, permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) ditolak dengan alasan mempunyai sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Sepatutnya BSH dan BPN diberi kepada semua yang terjejas.

gaji pekerja kantin
Bagaimana dengan gaji pekerja kantin?

    Setelah ramai peniaga kecil dan sederhana ini terjejas dan terpaksa gulung tikar sebagaimana yang dialami oleh pengusaha kantin sekolah (rujuk di sini), bagaimana pula dengan nasib pekerja mereka? Kira-kira 100,000 ribu orang pekerja kantin sekolah dan beratus ribu (mungkin berjuta) lagi pekerja dari industri kecil dan sederhana lain turut terjejas. Semuanya terpaksa mengharapkan bantuan kerajaan melalui BSH dan BPN. Wang simpanan pula telah habis ketika PKP 1.0 dahulu. Dalam keadaan terdesak, ramai yang terpaksa mengeluarkan simpanan untuk kegunaan hari tuan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Sinar walaupun sedar wang itu amat penting setelah bersara kelak.

    Walaupun dalam PKP 2.0 masih dijalankan, namun kes positif terus meningkat terutamanya dari kluster kilang. Varian baru dari Afrika dan India juga muncul walaupun rakyat tidak dibenarkan keluar negara (tu pun salah rakyat tak patuh SOP?).
hamzah zainudin
Pelbagai SOP untuk rakyat diperketatkan

    Seperti yang dijangka, PKP 2.0 yang longgar ini gagal menurunkan kes positif harian dengan berkesan. Kes masih lagi tinggi walaupun ada penurunan sedikit. Namun wang simpanan rakyat telahpun habis diguna. Rakyat semakin hilang sabar. Sia-sia saja rakyat berkorban masa, pendapatan dan wang simpanan selama setahun. Sepanjang setahun menghadapi PKP 1.0 dan PKP 2.0, ramai yang hilang pekerjaan atau perniagaan. Kes kemurungan yang membawa kepada masalah lain seperti penceraian dan masalah mental. Kes bunuh diri juga meningkat mendadak.

Rakyat mengharapkan kerajaan membuat PKP 3.0 yang ketat seperti yang diperkenalkan pada 18 Mac 2020 yang lalu. Kerajaan juga diharapkan memberi bantuan penuh kepada semua golongan rakyat yang terjejas sepanjang PKP 3.0 memandangkan rakyat tidak lagi memiliki simpanan. Moratorium automatik 6 bulan juga diperlukan.
'Kejayaan" PKP 2.0

    Tetapi amat memeranjatkan bila Menteri Kewangan, Tengku Zafrul memberi kenyataan PKP 3.0 yang dilaksanakan juga tidak ketat kerana didorong 'kejayaan PKP 2.0' yang longgar itu. Amat sukar diterima akal kerajaan mahu mengulangi PKP yang longgar tetapi mengharapkan hasil yang mampu mengurangkan kes positif harian kepada dua angka. Bak kata Albert Einstein, mengulangi perbuatan yang sama sambil mengharapkan hasil yang berbeza adalah GILA. Majoriti rakyat Malaysia tidak perlu menjadi genius untuk memahami ayat tersebut.
albert einstein
Tak perlu jadi genius untuk faham

    Lebih mengecewakan apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin perlu bermesyuarat dengan tokey tokey kilang sebelum bermesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memuktamadkan SOP PKP 3.0 yang hendak diperketatkan. Tindakan ini seolah olah kerajaan terpaksa meminta izin daripada pemilik pemilik kilang dahulu sebelum membuat keputusan. Tak pernah pula kerajaan berbincang dengan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) sebelum membuat keputusan menutup sekolah?
Mesyuarat memohon restu tokey kilang?

    Berdasarkan situasi sekarang dan cara kerajaan menangani pandemik covid-19 ini, nampaknya kita perlu bersedia untuk menghadapi PKP 3.0 yang panjang. Sekiranya PKP 3.0 ditamatkan awal sekalipun, mungkin akan ada PKP 4.0, PKP 5.0, PKP 6.0 dan seterusnya sehingga 80% RAKYAT Malaysia selesai divaksin.

Catat Ulasan

0 Ulasan