Sejak dunia dilanda pandemik covid 19 penghujung 2019, perniagaan kantin sekolah di Malaysia agak terganggu tetapi tidak ketara. Keadaan ni berubah 100 peratus apabila Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020 secara mengejut selama 2 minggu

covid 19
Covid 19

    Dengan notis singkat, majoriti pengusaha kantin tidak sempat menghabiskan stok bahan mentah yang ada di kantin. Namun kami akur dengan arahan kerajaan. Stok bahan mentah yang tidak tahan lama seperti sayur, telur, mee kuning, kueteow dan fishball disedekahkan kepada pekerja-pekerja kantin. Bahan mentah seperti ayam, ikan dan daging mampu kekal segar selama 2 minggu di dalam peti sejuk beku. Begitu juga dengan beras, bihun, tepung dan sebagainya.

Stok telur terpaksa disedekahkan untuk
mengelakkan pembaziran sia-sia


    Namun setiap kali tempoh 2 minggu PKP hampir berakhir, kerajaan menambah lagi tempoh PKP ini. Hal ini berlarutan sehingga sekolah mula dibuka secara berperingkat pada 15 Julai 2020.

beras berkutu
Akibat disimpan terlalu lama


    Tempoh cuti yang begitu lama menyebabkan hampir semua stok beras, tepung dan lain-lain mula luput tarikh dan tidak lagi sesuai dimakan. Makanan yang disimpan beku seperti ayam, daging dan ikan yang ada di kantin terpaksa dibuang kerana sudah tidak segar untuk dijual. Kerugian yang tanggung oleh setiap pengusaha kantin mencecah ribuan ringgit.

penyimpanan ayam sejuk beku
Akibat disimpan terlalu lama ayam
tidak lagi segar dan terpaksa dibuang

    Pengusaha kantin bukan sahaja kerugian akibat terpaksa membuang stok makanan yang disimpan terlalu lama. Kos menyimpan makanan pun terpaksa ditanggung akibat sikap kerajaan yang tidak berterus terang tentang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan hanya mengumumkan tambahan tempoh PKP di saat akhir. Ayam, ikan dan daging perlu disimpan di dalam peti sejuk beku industri yang banyak menggunakan tenaga elektrik di kantin. Perlu diingatkan, kantin dikenakan caj kadar industri yang jauh lebih mahal berbanding kadar domestik di rumah. Sekiranya kerajaan memberi arahan penutupan sekolah secara telus, kerugian ini boleh dielakkan.

Dengan notis singkat dari kerajaan,
meter TNB sentiasa bergerak pada waktu PKP

    Kami amat berterima kasih dengan keprihatinan perdana memberi pelepasan sewa kantin selama 6 bulan. Pelepasan ini ditambah 3 bulan lagi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Namun bantuan ini sebenarnya tidak memadai dengan kerugian yang kami alami. Permohonan kami untuk BPN yang ditawarkan kerajaan ditolak kerana kami memiliki syarikat yang berdaftar dengan SSM. Kebanyakan kami juga dinafikan bantuan GKP kerana hasil jualan kami lebih daripada RM200,000 setahun. Untuk pengetahuan semua, keuntungan pengusaha kantin hanyalah sekitar 10 hingga 25 peratus sahaja daripada hasil jualan kasar bergantung pada jumlah murid. 10 peratus daripada RM200,000 hanyalah RM20,000 setahun atau RM1,667 sebulan. Adakah ini jumlah yang logik bagi perniagaan kantin? Satu lagi alasan penolakkan permohonan GKP kami adalah kami mempunyai lebih daripada 5 orang pekerja. Untuk pengetahuan kerajaan, sekolah hanya memperuntukkan 20 hingga 30 minit untuk waktu rehat murid. Kami perlu menyelesaikan penjualan makanan dan minuman dalam masa 10 minit sahaja. Masa selebihnya adalah masa untuk murid-murid makan makanana yang telah dijual. Penjualan penbagai jenis makanan kepada ramai murid dalam masa yang singkat memerlukan ramai tenaga kerja. Ini ditambah lagi dengan keperluan untuk mengasingkan murid mengikut jantina. Jadi syarat permohonan GKP adalah mengarut bagi kebanyakan pengusaha kantin.

bantuan prihatin nasional
BPN tak memberi manfaat kepada pengusaha kantin

    Setelah sekolah dibuka, kantin sekolah diberi SOP yang jauh lebih ketat berbanding restoran. SOP ini menyebabkan murid kurang berminat untuk membeli makanan di kantin sekolah. Ditambah pula dengan ramai ibubapa juga tidak atau kurang mempunyai sumber pendapatan di musim PKPP ini. Tindakan Menteri Pendidikan Malaysia Dr. Radzi Jidin yang menyarankan agar murid-murid membawa bekal juga menambahkan lagi kesusahan kami. Kebanyakan pengusaha kantin kehilangan 65 hingga 85 peratus hasil jualan berbanding ketika sebelum pandemik covid 19.

Banyak wang dilaburkan untuk menghias
kantin namun tidak dapat berniaga

    Pengusaha kerugian teruk. Bilangan pekerja dikurangkan untuk menjimatkan kos. Kantin kekurangan kakitangan untuk pengurusan kantin. Keadaan di kantin kurang terurus. Bil utiliti seperti air dan elektrik tertunggak. Pinjaman perniagaan juga tak mampu dibayar. Ramai yang berdepan risiko muflis. Malah ramai juga yang telah menghantar notis menarik diri daripada penyewaan kantin kerana kehabisan ikhtiar walaupun kontrak masih ada.

Pengusaha kantin berdepan risiko muflis - Hmetro (berita di sini)

    Belanjawan 2021 yang dilihat menjadi harapan terakhir juga akhirnya sangat mengecewakan. Nasib 10,200 orang pengusaha kantin dan lebih 100,000 orang pekerja kantin tidak dipeduli. Ramai yang berdoa meminta tuhan agar pembangkang berjaya menolak belanjawan 2021. Ramai juga yang berharap kerajaan yang ada sekarang digantikan dengan kerajaan baru yang lebih prihatin.

Harapan yang ternyata sia-sia

    Diharap kerajaan hari ini menukar fikiran untuk membantu kami mengharungi kesulitan yang kami tak mampu harungi.

    Admin juga dengan rendah diri memohon supaya pembaca 'share' artikel ini di laman sosial masing-masing. Semoga info ini dapat disampaikan kepada Perdana Menteri, Menteri Pendidikan dan semua rakyat Malaysia.