Sila Like

TAQWIM PERSEKOLAHAN 2021


   Taqwim persekolahan 2021 telahpun dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Hari persekolahan dan hari cuti persekolahan sememangnya perkara asas dalam membuat perancangan tahunan hampir semua rakyat Malaysia walaupun dah lama menamatkan alam persekolahan.

   Bagi pengusaha kantin, perancangan perniagaan kantin sekolah tahun 2021 perlulah meliputi kos operasi yang turut ditanggung pada cuti sekolah. Selain cuti semester yang tertera dalam taqwim, pengusaha yang berpengalaman akan mengambil kira juga cuti perayaan. Perayaan besar seperti Tahun Baru Cina, Hari raya Aidilfitri dan Deepavali biasanya setelah dicampur dengan Cuti Tambahan KPM, biasanya sekolah akan dicutikan selama 9 hari termasuk cuti hujung minggu.
Surat Siaran KPM
Surat Siaran KPM
Surat Siaran KPM

   Tahun 2021 menyaksikan sesi persekolahan dibuka pada 20 Januari, ini bermakna pengusaha kantin hanya dapat berniaga selama 8 hari sahaja di bulan Januari. Bagi pengusaha kantin sekolah menengah pula, mereka perlu menghadapi risiko kurang pelanggan sehingg 80 peratus akibat pelajar dicutikan untuk memberi ruang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2020 yang ditangguhkan ke tarikh 22 Januari 2021 sehingga 25 Februari 2021.

   Tahun Baru Cina 2020 jatuh pada hari Jumaat 12 Februari 2021. Dengan cuti umum 2 hari dan ditambah 2 hari Cuti Tambahan KPM serta Cuti Peristiwa sepertimana yang biasa dilakukan pada tahun-tahun sebelum ni, dianggarkan pengusaha kantin hanya boleh berniaga selama 15 hari sahaja di bulan Februari. Itu pun dalam keadaan ramai pelanggan dicutikan untuk memberi ruang kepada calon SPM 2020. Dijangkakan pengusaha kantin sekolah menengah akan mengalami kerugian pada 2 bulan pertama 2021.

   Bulan Mac pula ada sehari cuti umum pada 11 Mac 2021. Namun cuti pertengahan penggal bermula pada Jumaat 26 Mac 2021. Kantin sekolah hanya beroperasi selama 18 hari di bulan ini.

   Pengusaha kantin sekolah yang majoriti muridnya adalah muslim juga perlu peka tentang situasi perniagaan di bulan Ramadhan yang dijangka bermula pada 13 April 2020. Ini bermakna perniagaan kantin hanya boleh beroperasi dalam keadaan normal selama 6 hari sahaja di bulan April. Baki hari selebihnya pula kantin mungkin perlu ditutup sekiranya tiada murid bukan Islam di sekolah itu. Sekiranya terdapat ramai murid bukan Islam, kantin dapat dibuka seperti biasa. Namun masalah menjadi lebih besar jika hanya sedikit sahaja pelajar bukan Islam disekolah tersebut. Kantin perlu dibuka namun hasil jualan terlalu terhad dan tidak mampu menampung kos pengurusan.

   Di awal bulan Mei, kita masih dalam suasana puasa. Kemudian kita akan bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri. Cuti Pertengahan Tahun 2021 pula bermula pada 28 haribulan. Bagi pengusaha sekolah majoriti bukan Islam, mereka sempat berniaga selama 14 hari tetapi pengusaha kantin sekolah majoriti muslim dapat berniaga 8 hari sahaja setelah ditolak puasa, cuti Hari Raya Aidilfitri dan cuti pertengahan tahun. 

   Hari Gawai disambut pada 1 dan 2 Jun 2021. Pada 7 Jun pula, Malaysia dijadualkan menyambut Hari Keputeraan DYMM Agong Tuanku Al-Sultan Ahmad Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. Namun cuti umum ini jatuh di dalam cuti pertengahan tahun yang berakhir pada 12 Jun 2020. 13 hari sahaja kantin dibuka.

   Bulan Julai pula, kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Perayaan ini disambut hanya 3 hari sebelum Hari Kemerdekaan Sarawak.
Nasib baik, perayaan ini juga jatuh dalam Cuti Pertengahan Penggal 16 hingga 24 Julai 2021. Ini bermakna pengusaha kantin hanya boleh berniaga selama 16 hari sahaja dibulan Julai.

   Bulan Ogos yang juga Bulan Kemerdekaan pula hanya ada 2 cuti umum iaiti Awal Muharam pada 10 haribulan dan 31 Ogos. Ini bermakna ada 20 hari kantin beroperasi penuh. Boleh dikatakan, bulan Ogos 2021 merupakan antara bulan terbaik untuk perniagaan kantin dan perniagaan lain yang berkaitan dengan sekolah.

   Bulan September pula kita akan menyambut Hari Malaysia yang juga dalam cuti pertengahan penggal yang bermula pada 10/9/2021 sehingga 18/9/2021. Hanya 17 hari sekolah dibuka pada bulan September.

   Bulan Oktober 2021 akan kita hadapi tanpa sebarang cuti. 20 hari kantin beroperasi penuh tanpa gangguan.

   Bulan November pula ada perayaan Deepavali. Walaupun hanya 2 hari cuti sepertimana dalam taqwim KPM 2021, namun kebiasaannya cuti akan ditambah dengan cuti peristiwa bagi memberi ruang kepada penganut Hindu merayakan hari besar mereka. Kadang-kadang cuti berlarutan sehingga 1 minggu penuh. Ini bermakna kantin akan beroperasi hanya selama 17 hari sahaja bagi sekolah yang mempunyai ramai penganut agama Hindu. Bagi sekolah mempunyai tiada atau hanya sedikit penganut Hindu, sekolah akan beroperasi selama 19 hari.

   Bulan Disember pula, hanya ada 8 hari sahaja sekolah beroperasi. Biasanya SPM akan dijalan di waktu ini. Ini bermakna pada tahun 2021, ada 2 kali SPM dijalankan termasuk SPM 2020.

   Ini bermakna pengusaha kantin hanya boleh berniaga selama 182 hari sahaja dalam masa setahun walaupun perlu membayar sewa selama 11 bulan atau 334 hari. Perlu diingatkan juga, dalam 182 hari itu, ada banyak hari yang perniagaan kantin akan mengalami kerugian teruk seperti pada bulan puasa dan juga pada peperiksaan besar seperti UPSR, PT3 SPM, STPM. Untuk maklumat, SPM pada bulan Januari dan Februari di atas adalah SPM 2020. Jadual peperiksaan 2021 belum dikeluarkan lagi buat masa ini. Pada peperiksaan sebegini, biasanya ramai murid yang tak terlibat akan dicutikan. Hasil jualan kantin biasanya tidak dapat menampung kos operasi perniagaan. Ini bermakna keuntungan pada hari yang kedatangan murid tinggi perlu digunakan untuk menampung kos ketika cuti sekolah, bulan puasa dan hari peperiksaan besar.

   Bakal pengusaha kantin disarankan membuat kira-kira dengan teliti sebelum mengisi borang sebut harga kantin sekolah. Sekiranya harga makanan terlalu rendah, mungkin perniagaan tidak mampu bertahan. Sekiranya harga makanan terlalu mahal pula, pelanggan mungkin akan membawa makanan dari luar sebagai bekal. Ini juga boleh merosakkan perniagaan.

   Jawatankuasa sebut harga kantin sekolah juga perlu peka dengan situasi perniagaan ini. Sekiranya tersalah pilih, pengusaha kantin mungkin tidak mampu membayar sewa yang terlalu tinggi yang ditawarkannya sendiri. Ini akan membuatkan pengurusan kantin akan membuat pengurangan kos yang drastik sehingga menjejaskan kualiti perkhidmatan dan juga kualiti makanan. Keadaan ini akan merosakkan imej sekolah sebagai institusi pendidikan yang dihormati.

   **Kongsikan artikel ini untuk pengetahuan semua pihak.

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Makcik kantin setuju dgn pakcik kantin harap kpm Ada jln penyelesaian yg terbaik..berharap agar mengecualian sewa diteruskn..

    BalasPadam
  2. Pengecualian sewa sahaja tak memadai buat masa sekarang. Majoriti pengusaha kantin kini mengharapkan geran khas secara 'one off' dari kerajaan

    BalasPadam

Pihak E Kantin tidak bertanggungjawab atas segala komen pembaca. Pembaca dinasihatkan tidak menggunakan kata kata yang tidak sopan, tidak menyentuh sensitiviti perkauman/keagamaan, tidak menghina mana mana individu/institusi/komuniti.