Sila Like

PENJUALAN MAKANAN DAN MINUMAN DI SEKOLAH

    Makanan dan minuman adalah antara keperluan yang paling besar di sekolah. Ianya sangat mudah dijual dan memberi pulangan yang cepat. Namun peraturan penjualan makanan di sekolah sangat ketat dan memerlukan banyak modal, masa dan usaha. Pengusaha kantin perlu memastikan setiap pekerja diberi suntikan pelalian typhoid dan latihan oleh pusat latihan yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum layak mengendalikan makanan. Segala peralatan, malah susun atur peralatan juga perlu mengikut spesifikasi KKM. Kaedah operasi penjualan pula perlu mengikut kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sisa buangan kantin juga perlu dilupuskan dengan SOP tersendiri.

kantin sekolah
Kantin zaman 1950an - sumber facebook

    Menyedari proses pengendalian makanan di sekolah amat ketat dan tidak mampu dilakukan oleh guru KPM membuka peluang perniagaan makanan ini kepada peniaga yang sanggup memenuhi segala kriteria yang diperlukan itu. Namun syarat untuk memohon tender pengoperasian kantin di sekolah amat ketat demi memastikan makanan yang bakal dibekalkan kepada murid-murid itu selamat untuk dimakan. Bukan hanya menjual makanan, pengusaha kantin perlu menjaga keselamatan, kebersihan dan keceriaan bangunan kantin tersebut. Pengusaha kantin juga bertanggungjawab menyediakan kemudahan asas seperti elektrik dan air sendiri yang perlu dibayar dengan 'kadar industri' yang jauh lebih mahal daripada 'kadar domestik' di rumah. Pengusaha kantin juga perlu memastikan segala sisa buangan kantin diuruskan dan dibuang dengan sempurna. Di kebanyakkan tempat, majlis daerah tidak bertanggungjawab mengutip dan melupuskan sampah kantin. Ini bermakna kantin perlu mengeluarkan wang untuk mengupah kontraktor pemungut sampah untuk mengutip sampah sisa kantin.

kantin sekolah
Pelbagai peraturan KKM yang sentiasa dikemaskini

    Dengan beban modal pengurusan perniagaan yang begitu besar, kerajaan melalui sekolah perlu berhati-hati memilih pengusaha kantin yang benar-benar layak. Bakal pengusaha perlu mendaftarkan perniagaan di SSM, kemudian perlu mendapatkan lesen E-Perolehan di Kementerian Kewangan. Wang modal pusingan juga perlu diishtiharkan dan dibuktikan dengan penyata bank. Bakal pengusaha juga perlu meletakkan wang pertaruhan untuk menyertai sebut harga tender kantin sekolah.

peraturan kantin sekolah
Pekeliling KPM tahun 1983

    Di dalam surat tawaran sebut harga tender kantin yang dikeluarkan oleh pihak sekolah, perlu ada jumlah murid (pelanggan) di sekolah itu. Berdasarkan jumlah murid inilah bakal pengusaha kantin perlu mencongak berapa hasil jualan yang mungkin diperolehi setiap hari. Pengusaha juga perlu meneliti taqwim persekolahan yang dikeluarkan oleh KPM untuk mengetahui berapa hari yang kantin akan berniaga, ditolak dengan segala macam cuti, bulan puasa dan peperiksaan besar yang mana murid yang tidak terlibat akan dicutikan seperti UPSR, PT3, SPM dan STPM. Dengan anggaran hasil jualan ini, bakal pengusaha kantin perlu menetapkan berapa harga makanan dan berapa harga sewa kantin yang perlu dibayar setiap bulan walaupun ketika cuti sekolah kecuali bulan Disember.

Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah
Screenshot Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah untuk sekolah yang mempunyai murid seramai 900 orang

    Kebiasaannya memang ramai yang memohon. Untuk meningkatkan peluang, bakal pengusaha akan meletakkan harga makanan yang paling murah yang mampu ditawarkan. Dalam masa yang sama sewa kantin ditawarkan semaksima mungkin. Ini bermakna sekiranya terpilih, pengusaha kantin itu hanya mendapat keuntungan yang minima dan cukup-cukup makan sahaja (tapi ramai yang cakap harga makanan di kantin mahal - cekik darah). Dengan keuntungan yang minima, pengusaha kantin sangat berisiko sekiranya jumlah pelanggan tidak sama dengan jumlah murid yang dipaparkan di dalam surat tawaran sebut harga kantin.

surat tawaran sebut harga kantin sekolah
Contoh surat tawaran sebut harga kantin sekolah

    Setelah panel pemilih sebut harga meneliti semua permohonan, satu sebut harga terbaik daripada syarikat yang terbaik dari segi modal, pengalaman dan sebagainya akan dipilih. Pengusaha kantin yang berjaya mendapatkan tender kantin itu perlu menandatangi perjanjian penyewaan kantin bersama dengan guru besar/pengetua dan juga GPK HEM sekolah. Perjanjian ini juga perlu disetemkan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Penjualan makanan dan minuman di koperasi sekolah
adalah bertentangan dengan undang-undang


    Kerajaan sedar, dengan segala usaha, masa dan modal wang ringgit yang banyak yang dilaburkan dalam perniagaan kantin sekolah, hak pengusaha kantin perlu dilindungi. Oleh itu pengusaha kantin diberi 'hak eksklusif' untuk berniaga makanan di sekolah seperti yang termetrai dalam perjanjian sewa kantin. Tiada pihak lain yang dibenarkan berniaga makanan di sekolah termasuk guru, murid, ibubapa, kelab guru dan koperasi sekolah. Guru yang ingkar boleh diambil tindakan termasuk dibuang kerja sepertimana yang dilaporkan oleh Berita Harian Online (berita di sini). Guru besar atau pengetua bertanggungjawab memastikan perjanjian ini dipatuhi oleh semua warga sekolah. Sekiranya gagal, intergriti guru besar atau pengetua mungkin akan dipersoalkan. Aduan boleh dibuat di Pejabat Pelajaran daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM). Aduan juga boleh dibuat kepada email Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) di aduan@ppksm.com.my bagi tujuan pemantauan.

    Ini jelas menunjukkan hanya kantin sekolah sahaja yang dibenarkan menjual makanan dan minuman di sekolah. Sesiapa sahaja selain kantin tidak dibenarkan berniaga di sekolah pada waktu persekolahan.

     Admin dengan rendah diri memohon supaya pembaca 'share' artikel ini di laman sosial masing-masing. Semoga info ini dapat disampaikan kepada Menteri Pendidikan dan semua rakyat Malaysia.

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Tetapi masih ada peniaga 'tak diundang' berniaga di luar pagar sekolah pada waktu pagi.dan ini menjejaskan jualan kantin.Mohon Tindakan Segera

    BalasPadam
  2. Sebagai pengusaha. Bolehkah kita menyewakan Stall kpd peniaga lain, didalam kawasan kantin.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau ikutkan peraturan memang tidak dibenarkan. Namun ini dah menjadi amalan di banyak kantin sekolah sejak sekian lama

      Padam

Pihak E Kantin tidak bertanggungjawab atas segala komen pembaca. Pembaca dinasihatkan tidak menggunakan kata kata yang tidak sopan, tidak menyentuh sensitiviti perkauman/keagamaan, tidak menghina mana mana individu/institusi/komuniti.