Pandemik covid19 yang melanda negara kita telah menyebabkan ekonomi negara Malaysia terjejas teruk. Ribuan perniagaan terpaksa dikecilkan malahan ditutup. Ratusan ribu pekerja pula kehilangan pekerjaan. Bantuan kerajaan pula sekadar mampu memastikan hampir setiap dapur rumah rakyat berasap namun masih tidak memadai berbanding kerugian yang ditanggung oleh majoriti rakyat.
Bagi 10,200 pengusaha kantin sekolah dan ratusan ribu usahawan kecil lain di seluruh Malaysia, untuk membangunkan kembali perniagaan yang telah ataupun hampir runtuh bukannya mudah dan bukannya murah. Kehilangan pendapatan selama hampir setahun tetapi kos operasi perniagaan masih berjalan. Tiada aliran wang masuk tetapi aliran wang keluar tetap banyak. Wang yang bertahun disimpan, habis dengan pantas akibat pandemik dan cara kerajaan menangani covid 19. Rujuk di sini.
Untuk membuka kembali perniagaan tentunya melibatkan banyak modal. Tanpa sisa wang simpanan, para usahawan perlu memikirkan alternatif lain. Nak harapkan bantuan geran daripada kerajaan, Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM3,000 pun majoriti pengusaha kantin dikatakan tidak layak walaupun terjejas dengan amat teruk.
Pinjaman perniagaan paling mudah |
Sebagai ikhtiar, apa kata kita memohon bantuan pinjaman daripada agensi kerajaan seperti TEKUN, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Pembiayaan kantin sekolah kurang diberi perhatian oleh oleh pihak bank. Secara peribadi, saya berpendapat TEKUN adalah pilihan yang paling mudah. Pakcik kantin pun layak memohon.
Dapatkan bantuan di cawangan TEKUN yang paling dekat dengan alamat perniagaan. Pastikan alamat perniagaan didaftarkan di dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Buat salinan surat tawaran tender kantin atau surat perjanjian sewa kantin. Siapkan penyata bank syarikat 3 bulan yang terkini. Senaraikan barang-barang berserta harganya sekali yang perlu dibeli untuk.
Pegawai TEKUN akan datang membuat lawatan tapak. Kebiasaannya mereka akan melawat sekali tapak niaga yang telah beroperasi. Sekiranya pegawai yang melawat berpuashati, pegawai itu akan membuat surat sokongan untuk dimajukan kepada ibu pejabat TEKUN NASIONAL. Sekiranya permohonan diluluskan, wang pinjaman akan dikreditkan ke dalam akaun syarikat kita antara 45 hingga 2 bulan.
Sementara menunggu keputusan permohonan bantuan yang telah diusulkan oleh Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) kepada KPM, saya rasa inilah antara ikhtiar yang boleh kita usahakan sendiri. Jangan tunggu sehingga saat terakhir baru kita bertindak. Elakkan meminjam daripada along atau ceti haram.
Semoga semua peniaga dapat mengharungi ujian ini dan semoga ujian ini cepat berlalu.
0 Ulasan
Pihak E Kantin tidak bertanggungjawab atas segala komen pembaca. Pembaca dinasihatkan tidak menggunakan kata kata yang tidak sopan, tidak menyentuh sensitiviti perkauman/keagamaan, tidak menghina mana mana individu/institusi/komuniti.