Sila Like

RESPON DR RADZI JIDIN BERHUBUNG ISU KONTRAK PENYEDIA PERKHIDMATAN DI SEKOLAH

Penyedia perkhidmatan di sekolah
Setelah lebih 16 bulan sekolah kerap ditutup akibat pandemik covid 19 yang menyebabkan banyak penyedia perkhidmatan di sekolah kerugian yang sangat teruk. Akhirnya kini barulah Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin membuka mulut berkenaan penyedia perkhidmatan di sekolah termasuk pengusaha kantin.

Namun apa yang disebut oleh menteri ini terlalu umum. Banyak isu yang penting langsung tidak disentuh seperti penutupan sekolah dengan notis yang terlalu singkat yang menyebabkan kantin kerugian ribuan ringgit sedangkan kerugian ini boleh dielakkan dengan menyalurkan makluamat lebih awal. Malah pengusaha kantin yang terpaksa gulung tikar akibat kerugian bertimpa timpa juga langsung tidak dibela.
Kenyataan media KPM
Menteri Pendidikan patut sedar sekiranya masalah ini terus diabaikan, sekolah pastinya menghadapi masalah ketiadaan perkhidmatan kantin apabila sekolah dibuka nanti. Untuk mencari pengusaha kantin baru melalui tender bukanlah sesuatu yang mudah pada masa ini. Ini kerana pemain pemain berpengalaman dalam industri ini rata ratanya sedang tenat menanggung masalah kewangan. Muka muka baru yang belum berpengalaman juga tidak berani menceburi bidang pengoperasian kantin setelah melihat pengusaha yang sedia ada kerugian teruk sehingga terpaksa gulung tikar dan melupakan wang deposit mereka di sekolah.

Oleh itu tindakan memberi bantuan kewangan yang secukupnya kepada pengusaha kantin bukan sahaja dilihat sebagai ehsan kepada pengusaha dan pekerja kantin. Malah juga melindungi imej sekolah dan KPM apabila kantin sekolah mampu meneruskan perkhidmatan dengan cemerlang.

Oleh itu saya merayu kepada menteri dan KPM untuk mendalami masalah yang dihadapi oleh pengusaha kantin. Saya juga amat mengharapkan KPM sudi berbincang dengan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) sebelum membuat keputusan berkaitan pembukaan atau penutupan sekolah demi menjaga kebaikan semua pihak.

Catat Ulasan

0 Ulasan