Sila Like

BANTUAN KHAS PENGUSAHA KANTIN - PEMULIH

Bantuan khas pengusaha kantin
Sejak dari awal Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) 18 Mac 2020, pengusaha kantin berjuang menuntut hak hak kami. Semua saluran yang ada digunakan sebaik mungkin. Surat permohonan, email, komen dan mesej peribadi di laman facebook semuanya dah dibuat secara peribadi mahupun melalui Persatuan Pengusaha Kantin Malaysia (PPKSM). Setelah tiada sebarang respon, PPKSM telah bertindak menghantar satu memorandum kepada Menteri Pendidikan yang diterima oleh setiausaha sulitnya tahun lepas. Penyerahan memorandum yang turut dibantu oleh beberapa NGO lain itu mendapat liputan media. Namun sehingga kini memorandum itu tak pernah dibalas.

Walaupun pengusaha kantin seolah olah tidak wujud di mata dan minda menteri yang sedang berkuasa, PPKSM dan ramai pengusaha kantin tidak berputus asa. Pelbagai usaha lain dilakukan termasuk menghebahkan di media sosial demi menarik lebih ramai pihak lain dari semua peringkat. Page PPKSM mula aktif. Page E Kantin dan blog ini pun ditubuhkan bagi tujuan ini.

Hasilnya mula kelihatan. Tahun lepas, pengusaha kantin mendapat bantuan 'one off' dari Kementerian Pendidikan Malaysia. Permohonan moratorium sewa kantin juga diterima. Pengusaha kantin sekolah yang di bawah KPM tidak perlu membayar sewa sejak bulan September 2020 sehingga Jun 2021. Manakala sewa bulan Mac hingga Ogos 2020 telah diberi moratorium oleh YAB Perdana Menteri. Kami masih menunggu jawapan untuk pengecualian sewa bermula Julai sehingga hujung tahun 2021.

Namun memorandum masih belum dibalas walaupun tuntutan kami itu berasas dan amat berpatutan. Menteri Pendidikan langsung tak pernah menyebut tentang kebajikan pengusaha kantin. Segala SOP yang dirangka langsung tidak mengambil pandangan kami. Kepentingan pengusaha kantin langsung tidak diambil kira. Malah pelajar digalakkan membawa bekal dari rumah. Segala perjanjian pembekalan makanan RMT dan Pra Sekolah yang telah ditandatangi dan dibayar setem hasil di LHDN oleh kami diabaikan begitu sahaja.

Usaha kami pergiatkan lagi. Suara pengusaha kantin mula mendapat perhatian ramai wakil rakyat yang tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan. Mantan menteri belia dan sukan saudara Syed Saddiq, mantan menteri pendidikan saudara Maszlee Malik, mantan menteri besar Negeri Sembilan Dato Sri Utama Hj Mohamad Hassam, mantan timbalan perdana menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan mantan perdana menteri Dato Seri Najib Razak adalah antara nama besar dalam arena politik tanah air yang menyeru kerajaan memberi perhatian terhadap nasib kami.
Bantuan khas pengusaha kantin
Antara bantuan yang diterima PPKSM
Malah ada kerajaan negeri Johor dan Pahang telah mula menyenaraikan pengusaha kantin sebagai penerima bantuan khas akibat penularan covid 19. Kerajaan Pulau Pinang pula telah membantu sejak awal PKP 1.0 lagi. Permohonan bantuan di Majlis Agama Islam Negeri juga mula mendapat perhatian. MAIWP telahpun menghulurkan bantuan tunai kepada pengusaha dan pekerja kantin di seluruh Wilayah Persekutuan. 
Bantuan khas pengusaha kantin
Perutusan Khas Perdana Menteri
Terbaru semalam YAB Perdana Menteri telah nengumumkan BANTUAN KHAS PENGUSAHA KANTIN dalam Perutusan Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang disiarkan secara langsung ke seluruh pelusuk negara. Bantuan tunai RM1000 akan diberikan secara 'one off' kepada semua pengusaha kantin berdaftar.

Walaupun jumlah bantuan yang diumumkan itu sidikit sedikit berbanding kerugian dan kos yang perlu kami tanggung sepanjang 16 bulan dan masih berterusan ini, kami pengusaha kantin amat berterima kasih dengan bantuan ini. Bukan setakat nilai bantuan tunai RM1000 yang diluluskan, tapi perhatian yang diberikan ini diharap menjadi satu titik permulaan suara pengusaha kantin tidam lagi terpinggir. Semoga selepas ini PPKSM akan lebih dihormati dan kepentingan pengusaha kantin akan diambil kira oleh KPM apabila membuat keputusan berkaitan sekolah.

Catat Ulasan

0 Ulasan